Tuesday, August 30, 2011

Aidil fitri


Amalan semasa menyambut Aidil Fitri:
• Bertakbir.
Bertakbir pada 1 Syawal bersempena Aidilfitri adalah suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan Syawal) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.
Adalah juga disunatkan untuk bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri bertujuan untuk menyerlahkan syiar Islam di setiap pelosok jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

• Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

• Mandi sunat pada pagi hari raya.
Disunatkan mandi di pagi hari raya sebelum menunaikan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie

• Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunatkan untuk menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.”
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahnya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum Muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.”
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunatkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”- Hadis riwayat al-Nasaai.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat …hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.”
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.”

 Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau surau (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum Muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelosok negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.”

• Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari
 Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud

 Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.”
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

Taqaballahuminna waminkum
"Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian"

Thursday, August 25, 2011

Juadah Berbuka

Seronok sungguh dapat berpuasa..alhamdulillah sudah 25 hari berpuasa..pejam celik pejam celik sudah nak habis puasa dah..tapi takpe boleh puasa sunat pulak..contohnya puasa sunat 6 di bulan Syawal..

antara best nya puasa adalah pada waktu berbuka kerana dapat menikmati makanan-makanan yang best. Rezeki orang berpuasa banyak. Itu antara kelebihan orang yang berpuasa.

Hari tu berbuka kat luar dengan adik sebelum balik ke kampung, order air bandung dan air roselle..
Iced cool Bandung

Roselle juice


makanan tambahan..

ayam bazar Ramadhan

mulakan dengan kurma dan manisan untuk berbuka
Kenangan yang paling best yang tak dapat lupakan ialah berbuka dengan meggi ketika berada di UPM tahun lepas. Bukan apa tak dapat pergi bazar Ramadan kerana hujan yang lebat. Kawan bilik sebelah dermakan meggi..wah wah memang tak boleh lupa..
meggi upm..
 Pizza ini antara juadah yang bagus juga untuk berbuka
pizza

Saturday, August 13, 2011

Syarat Berbuka Puasa bagi Musafir


Aku mendapat satu panggilan dari seorang kawan. Dia bertanya tentang berbuka puasa bagi musafir. Perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Di sini aku sertakan serba sedikit syarat yang dibolehkan bagi seorang musafir itu untuk berbuka puasa. 

1) Perjalanan musafir itu adalah harus. Contohnya perjalanan balik kampung adalah diharuskan untuk berbuka puasa. Balik kampung ini adalah satu perkara yang baik iaitu untuk bertemu ibu bapa, family, sanak-saudara dan dengan perjalanan balik ke kampung ini boleh merapatkan hubungan silaturrahim. Jadi sesiapa yang ingin berbuka puasa, sila lah..tapi jangan lupa ganti balik ye nanti..

2)Perjalanan itu bukan selalu. Contohnya pemandu bas ekspress dari Kuala Lumpur ke Kelantan tidak diharuskan untuk berbuka puasa. Kalau diharuskan mungkin mereka tiada masa untuk menggantikan puasa Ramadan kerana sepanjang tahun bermusafir..Dah keje musafir, bila nak puasa penuh kan? tapi jika terlalu penat akibat puasa, adalah diharuskan untuk berbuka puasa. Takut nanti boleh membahayakan penumpang bas. Tapi pepatah Melayu ada menyebut "alah bisa tegal biasa". Kalau dah biasa perjalanan jauh ni rasanya boleh teruskan berpuasa saja la.

3)Terdapat juga sebahagian ulama meletakkan syarat agar perjalanan musafir itu dimulakan sebelum fajar lagi. Kalau bermusafir selepas fajar contohnya pukul 2 baru nak naik bas, macam tak sempat rasa puasa sangat sebab dalam bas tidur je kan..sedar-sedar orang azan maghrib..baik puasa, betul tak?

So kawan aku tadi dia nak berbuka puasa kerana penat drive dari Ipoh ke Kuala Lumpur dan sampai di KL pada pukul 3 petang. Dah puasa sampai pukul 3, tapi bila sampai KL baru terasa nak berbuka. Rasa macam rugi je puasa separuh hari tadi. Kalau nak berbuka baik buka awal-awal. Baru berbaloi-baloi.

Akhirnya selepas di'lecture' dalam telepon lebih kurang 15 min, member aku tak jadi buka puasa sebab macam rugi je puasa dari pagi tadi. 

Walau bagaimanapun, pilihan untuk berbuka puasa adalah di tangan anda tapi janganlah sesuka hati buka puasa dengan makan di khalayak ramai. Kita masih perlu menjaga adab-adab di bulan puasa juga iaitu jangan makan di khalayak jika tidak berpuasa contohnya muslimat yang "uzur" syar'ie.

Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan Kareeem

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari tahun lepas..Mukmin yang cemerlang adalah hari ini lebih baik dari semalam.. Semakin hari semakin baik dalam memperbaiki amal dan iman. Semoga kedatangan Ramdhan kali ini adalah sebagai satu 'booster' untuk kita menjadi mukmin yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Salam Ramadhan Kareem.. (",)