Amalan semasa menyambut Aidil Fitri:
• Bertakbir.
Bertakbir pada 1 Syawal bersempena Aidilfitri
adalah suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula
ketika terlihatnya hilal (anak bulan Syawal) dan berakhir setelah selesainya
kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.
Adalah juga disunatkan untuk bertakbir di
sepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat
Aidilfitri bertujuan untuk menyerlahkan syiar Islam di setiap pelosok jalan
yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
• Lafaz ucapan selamat pada
Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan
mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari
Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan
dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah
sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang
dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di
hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna
waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath
al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau
hadis ini berstatus hasan.
• Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah
bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya
solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada
hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak
bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa
yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat
tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari
berikutnya sesudah bulan Ramadan.
• Mandi sunat pada pagi hari raya.
Disunatkan mandi di pagi hari raya sebelum
menunaikan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai
mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang
diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan
Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie
• Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunatkan untuk menjamah makanan sebelum
berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala
andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum
mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia
boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah
Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.”
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma
dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam
perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri.
Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik
daripada menyanggahnya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak
boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat
solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin
Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata:
Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat
al-Bukhari
Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan
untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis
seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya
meminum air.
• Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum Muslimin menghiaskan diri dengan
pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian
terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari
raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis
perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai
wangi-wangian.”
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan
memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai
pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga
menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie
r.h menambah:
“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh
memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan
dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.”
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih
pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju
ke tempat solat hari raya. Disunatkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian
tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia
melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia
adalah penzina.”- Hadis riwayat al-Nasaai.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus
membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan
kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang
keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga
menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh
menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
• Berjalan kaki menuju tempat
dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke
tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki
menuju ke tempat solat …hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.”
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu
menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam
syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding
menaiki kenderaan.
. Mengikuti jalan yang berbeza ketika
pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza
ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah
r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari
raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza
ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang
berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang
melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan
barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada
mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula
untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah
supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang
berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan
meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan
kesalahan-kesalahannya.”
• Tempat perlaksanaan solat hari
raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan
lapang atau surau (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat
semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia
melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah
Nabi s.a.w.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di
musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya
di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum
Muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali
dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelosok negeri akan berkumpul di sebuah
tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap
Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat
(tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan
berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat
menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan
kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.”
• Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut
Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh
umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya
Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat.
Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis
riwayat al-Bukhari
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah
mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha,
Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan
oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian,
baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam
saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah
kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau
mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya,
sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan
meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama
Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan
berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk.
Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud
• Bergembira Pada Hari Raya
Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi
munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk
beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu
dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan
suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri
adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza
mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya
Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli
keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di
sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan
untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat
peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah
sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri
selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq
r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang
tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari
segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada
hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan
hati.”
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan
penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan
penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira)
di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang
kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan
permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah
menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya
Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai
• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari
Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu
diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa
setahun.” – Hadis riwayat Muslim
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di
bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan
berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2
Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan
pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih
mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di
akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau
berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat
Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan
bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit.
Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih
dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan
dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa
setahun.
Taqaballahuminna waminkum
"Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian"