Ramai Muslimah yang menutup aurat tetapi sebenarnya tidak menutup
aurat. Perkara ini kelihatannya semakin berleluasa di kalangan para
ustazah yang mempunyai pendidikan agama yang bukan setakat di sekolah
rendah tetapi sudah sampai ke peringkat universiti. Malah sudah juga
bergelar graduan pengajian Islam. Ia adalah sesuatu yang sememangnya
tidak sedap di pandang mata. Ini kerana yang sudah tahu itu seolah-olah
buat-buat tidak tahu. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan ia adalah
satu fenomena yang amat mendukacitakan.
Apabila
seorang yang tahu dan faham dengan apa yang dikehendaki oleh syariat
meletakkan diri umpama orang awam bagaikan satu musibah dalam institusi
pembelajaran agama. Agama dicemarkan dan dirosakkan dengan pencampuran
antara yang bukan agama dengan yang agama menyebabkan masyarakat Islam
keliru yang mana satu agama dan yang mana satu bukan agama. Akhirnya
masyarakat Islam yang seringkali cenderung beramal dengan amalan seorang
agamawan itu melihat yang bukan agama itulah agama. Akibatnya timbullah
kata-kata seperti ini: 'Ustazah tu pun pakai macam ni? Kalau agama kata
tak boleh dan salah, kenapa dia pakai. Takkan ustazah tu tak tahu..."
Sedih, bukan? Ketahuilah, semua ini berlaku dek kejahilan dan
ketidakmahuan mempraktikkan ajaran agama oleh orang agama itu sendiri.
[Ini baru sahaja dalam bab penutupan aurat seorang Muslimah belum lagi
dalam bab-bab lain dalam hal akidah dan ibadah].
Saya
tidak berniat untuk menyindir sesiapa, malah bukan juga berniat untuk
mengutuk 'usaha murni' muslimah-muslimah dalam mempelbagaikan pemakaian
tudung dan memperkenalkan pakaian-pakaian yang kononnya adalah 'busana
Muslimah'. Cumanya saya prihatin, mungkin dalam keghairahan untuk
melakukan kebaikan kita terlupa dengan kehendak asal syariat itu
sendiri.
Ada kata: "Keimanan aku bukan terletak pada labuhnya tudung aku".Ya, benar..siapalah kita untuk menilai keimanan seseorang dari sudut pemakaiannya. Memang kita tidak layak. Tetapi menutup aurat dengan sempurna dan melabuhkan tudung itu adalah SATU KEWAJIPAN yang dituntut dalam agama tidak kira kamu itu baik atau tidak. Jika kita kata kita beriman, tentu sahaja kita bertindak sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya,bukan?
Mungkin ada antara akhawat Muslimah saya yang bergelar ustazah terlupa, Allah s.w.t telah berfirman:
Maksudnya: "Wahai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [al-Quran, al-Ahzab:59].
Nabi s.a.w pula bersabda yang mana maksudnya:
"Dua jenis ahli neraka: (1) Orang yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia (2) Wanita yang berpakaian seolah-olah tidak berpakaian. Mereka condong semasa berjalan dan mencondongkan orang yang melihat. Kepala mereka seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan mencium baunya....." [H.R Muslim].
Akhawat bergelar ustazah yang saya kasihi, belajar agama menuntut kita memahami dan mempraktikkannya lebih-lebih lagi bila mana ianya WAJIB. Dalam hal-hal yang JELAS DAN TERANG seperti ini, kita tidak boleh beramal mengikut 'rasa', adakah beriman dengan al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang sahih itu perlu separuh-separuh? Mana yang kita suka dan mengikut selera kita, kita laksanakan. Manakala mana yang kita tidak sukai dan tidak menepati citarasa kita [dan peredaran zaman], kita tinggalkan?
Dalam hal ini, saya tidak perlu berbual panjang lebar dan berjela-jela. Cukuplah penulisan ringkas ini sekadar mengetuk minda kita yang terlupa barangkali agar tersedar supaya perkara ini dilihat semula berdasarkan tuntutan syariat. Suka untuk saya katakana bahawa aurat perlu ditutup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya bukan sebagaimana yang dikehendaki oleh peredaran zaman dan trend yang melanda dunia fesyen. Moga perkara ini dapat kita muhasabahkan bukan sahaja untuk diri yang sedang membaca tetapi diri saya juga.
Wallahu'alam.
adapted from Sakinah Saptu
No comments:
Post a Comment