Sunday, November 27, 2011

Khasiat Bangun PAGI


  • FIKIRAN MENJADI LEBIH SEGAR
Bangun seawal 6 pagi sebelum matahari terbit dapat membuatkan fikiran kita menjadi lebih segar dan ia mampu mengurangkan tekanan dan stress dalam diri kita. 

Fikiran yang segar akan membuatkan kerja-kerja yang dilakukan pada hari tersebut menjadi lebih effisien dan efektif. Hormon kortisol mula meningkat dalam badan kita untuk menyediakan badan kita bekerja dengan berkualiti.
  • DAPAT MENGAMBIL SARAPAN
Bangun di awal pagi membolehkan kita mengambil sarapan dengan selesa sebelum ke pejabat atau sekolah. Sarapan merupakan amalan yang sangat penting kerana ia membekalkan tenaga kepada otak dan juga seluruh badan kita untuk aktiviti seharian.

Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pada awal pagi tidak akan menyumbang kepada kegemukan kerana makanan yang dimakan akan cepat dihadam dan digunakan oleh badan kita yang mengalami kadar metabolisme yang tinggi pada waktu itu. 

Sebaliknya jika tidak mengambil sarapan, ia boleh merosakkan sel-sel otak kita kerana kekurangan glukosa dan sumber tenaga.
  • DAPAT MELAKUKAN AKTIVITI SENAMAN PAGI
Senaman pada waktu pagi merupakan satu aktiviti yang sangat baik kepada badan kita. Bahkan senaman pada waktu pagi membolehkan kita menyedut udara yang sangat bersih dan nyaman. Pastinya kita tidak akan temui udara sebersih itu pada waktu lain kerana ia akan dicemari oleh habuk-habuk dan juga asap-asap kenderaan.

Kita juga dapat menikmati pancaran cahaya matahari pada waktu pagi yang sangat bermanfaat untuk kita terutama sekali bagi menjana vitamin D demi kebaikan tulang dalam badan kita.

  • TIDAK TERGESA-GESA DAN TERBURU-BURU
Jika kita bangun lewat, tentu sekali kita akan tergesa-gesa dalam mempersiapkan segala sesuatu dalam satu masa. Kerja yang dilakukan dengan tergesa-gesa akan membuahkan hasil yang tidak menarik. Bahkan, kita akan tertinggal banyak barang yang penting seperti dompet, buku dan sebagainya kerana tidak memfokuskan kepada sesuatu yang kita lakukan pada waktu itu. Jadi, bangun awal pagi membolehkan kita merancang aktiviti kita dengan sempurna dan terancang.


Rasullullah s.a.w bersabda:

"Ya Allah berilah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi."


teks: Dr. Farhan Hadi Mohd Tain

No comments:

Post a Comment