Wednesday, July 14, 2010

Amanah

Apakah amanah? Amanah ialah menerima tanggungjawab. Kita perlu menjaga beberapa amanah. Antaranya amanah dengan Allah. Macamana untuk menjaga amanah dengan Allah? Hubungan dengan Allah akan menjadi lebih baik apabila kita
  • menjaga solat
  • sentiasa berdoa dan berzikir
  • sentiasa membaca al-Quran
  • berpuasa
  • menunaikan haji /umrah jika berkemampuan
Kita juga perlu menjaga amanah dengan Rasullullah s.a.w iaitu dengan sentiasa berselawat kepada baginda dan yang paling penting ialah mematuhi ajaran yang dibawa oleh baginda iaitu ajaran Islam.

Kita juga hendaklah beramanah dalam Ad-din (agama Islam). Bagaimana? Dengan mengamalkan ajaran-ajaran / undang-undang / peraturan-peraturan yang terkandung dalam Islam dan meninggalkan amalan-amalan yang dilarang di dalam al-Quran. Agama Islam adalah panduan hidup kita yang lengkap yang di'role model'kan oleh Baginda Muhammad s.a.w. melalui akhlak beliau yang dipimpin oleh Allah s.w.t.

Amanah juga berlaku di kalangan sesama manusia contohnya suami kepada isteri dan sebaliknya, ibubapa kepada anak-anak dan sebaliknya, guru kepada pelajar dan sebaliknya, dan pemimpin kepada pimpinannya dan sebaliknya.

Kita juga semestinya menunaikan hak terhadap makhluk Allah yang lain seperti hayawanaat (haiwan).

Amanah yang paling utama ialah apabila manusia menerima tanggungjawab sebagai khalifah walaupun amanah untuk menjadi khalifah ini telah ditolak oleh tiga makhluk Allah iaitu langit, bumi, dan gunung-gunung. Kenapa tiga makhluk ini menolak tawaran amanah Allah ini? Ini kerana makhluk yang bernama langit, bumi dan gunung-gunung tahu bahawa mereka tidak mampu untuk memikulnya dan mungkin akan mengkhianati amanah tadi.



"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mu`min laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

Surah Al-Ahzab, ayat 72-73


Mengapa manusia menerima amanat ini dengan mudah? Kenapa tidak sahaja ditolak amanah tersebut? Tidak berfikirkah makhluk bernama An-nas ini bahawa amanah ini terlalu berat untuk dipikul? Tidak takutkah amanah ini gagal untuk dilaksanakan? Mampukah manusia? Sudah tabiat manusia sebenarnya untuk menerima amanah ini walaupun susah untuk laksanakan. Mereka akan menjadi zalim kepada diri sendiri dan amanah tersebut sekiranya gagal dilaksanakan. Sudah tabiat manusia untuk meminta-minta. Kita selalu berdoa untuk dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Namun hakikatnya adakah kita bersyukur dengan amanah yang Allah kurniakan ini? Adakah kita tunduk dan patuh kepada Allah sebagai tanda syukur? Dimanakah kita habiskan masa-masa kita seharian? Tepuk dada tanya iman. Sememangnya susah untuk menemui manusia yang tidak mengabaikan tanggungjawab dan amanah ini. Mereka yang dikurniakan rezeki yang lebih sedikit daripada yang lain, adakah mereka membelanjakan harta tersebut di jalan-jalan Allah? Digunakan untuk bersedekah atau untuk perkara maksiat? Fikir-fikirkan...


Ingatlah wahai saudara-saudaraku,

Sekiranya kita lupa, leka, lalai dan mengabaikan amanah-amanah kita, kita akan termasuk dalam golongan orang-orang munafik. Al-munafikun ini adalah sedarjat dengan al-musyrikun (orang-orang yang syirik)..Nauzubillahi min zalik..

No comments:

Post a Comment