Saturday, July 31, 2010

Solat, Ubat Mujarab Pengusir Kesedihan

Apabila ketakutan meliputi kita, juga kesedihan menghimpit kita dan kerisauan mencengkam jiwa kita, maka bersegeralah kita mendirikan solat, nescaya jiwa kita akan kembali tenteram dan tenang. Sesungguhnya, solat itu-atas izin Allah-mudah-mudahan boleh menjaga kita dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit kita selama ini.

Sesungguhnya apabila setiap kali dirundung kegelisahan, Rasulullah s.a.w. selalu meminta kepada Bilal ibn Rabbah, "Tenangkanlah kami dengan solat, wahai Bilal." (Hadith). Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah s.a.w.

Bagi generasi umat manusia yang sedang banyak menderita penyakit kejiwaan seperti saat ini, sebaiknya hendaklah sering mengunjungi masjid dan menghamparkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam rangka meraih keredhaan Allah. Dengan demikian, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan hidup. Jika tidak, tangisannya itu tentu akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya. Maka jelaslah bahawasanya, seseorang itu tidak memiliki kekuatan pun untuk meraih ketenangan dan ketenteraman hati selain dengan mendirikan solat.

Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar (sekiranya kita berfikir) ialah pelaksanaan solat wajib lima waktu dalam sehari semalam, yang merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan pelbagai macam penyakit yang kita deritai. Betapapun, solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan iman ke dalam relung hati, sehinggalah hati selalu redha dengan apa jua ketentuan Allah.

Adapun bagi mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih dari kesusahan yang satu kepada kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu kepada goncangan jiwa yang lain dan dari kesengsaraan yang satu kepada kesengsaraan yang lain.


dipetik dari kitab LA TAHZAN, Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni.

No comments:

Post a Comment