Friday, July 30, 2010

Menghargai Pengorbanan Pahlawan

Pahlawan adalah benteng negara, tanpa pahlawan, negara sentiasa terdedah dengan ancaman musuh, maka kerana itu kalau kita sayangkan negara, kita mestilah sanggup memberi pengorbanan untuk mempertahankan negara daripada musuh yang menggugat keselamatan dan segala bentuk pencerobohan dan penjajahan.

Tanggungjawab menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab setiap rakyat. Islam mengajar kita supaya cintakan negara, kerana cintakan negara itu sebahagian daripada tanda adanya iman. Menjaga negara tidak hanya sekadar menjaganya dari serangan musuh yang menggugat keamanan, tetapi juga dalam pengertian yang lebih luas, iaitu menjaga maruah negara dari segala anasir yang boleh merosakkan akidah, syariah, akhlak dan pemikiran rakyat, yang akhirnya akan menghancurkan kebahagiaan hidup seluruhnya.

Islam banyak menampilkan serikandi pahlawan muslimatnya, seperti Aisyah Ummu Salim, Ummu Ruqaidah, Ummu Ziyad, Asiah dan Ummu 'Attiya dan anak perempuan Mu'az (Rabi') yang menjadi pahlawan serikandi dalam Peperangan Khaibar dan tujuh peperangan yang lain. Dalam Peperangan Khandaq, Safiah (ibu saudara Rasullullah s.a.w.) dengan sebatang kayu tampil menyerang dan membunuh Yahudi Bani Quraizah. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

"Berjuang di jalan Allah satu hari, lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya."
(Riwayat Al-Bukhari)
Hadith tersebut membuktikan bahawa mereka yang gugur dalam mempertahankan akidah, syariah, akhlak Islam, dan kedaulatan hukum-hakam Allah, sebagai syahid dan kehidupan mereka dinilai tinggi lebih dari nilai dunia dan segala isinya.

Pahlawan terbilang bukan sahaja dari kalangan tentera bersenjata, tetapi ia juga dari kalangan pemimpin-pemimpin yang ikhlas berjuang di jalan Allah, ulama'-ulama' yang bertanggungjawab dan amanah dalam menyedarkan masyarakat tentang mulianya berjihad mempertahankan negara atas dasar agama tanpa mengira bangsa, keturunan dan pangkat. Akan tetapi perjuangan atas dasar fahaman 'assabiyah dan perkauman dilarang oleh Islam, perjuangan kerana merebut harta, nama atau kedudukan yang baik, tidak kira sebagai pahlawan yang berjuang di jalan Allah.

Sabda Rasullullah s.a.w.:

"Katakan kepada Rasulullah s.aw. ada pahlawan yang berperang kerana mengharapkan harta, ada pahlawan yang berperang untuk mendapat kemasyhuran dan ada pahlawan yang berperang supaya diberi jawatan atau kedudukan yang baik, maka yang mana satukah pejuang di jalan Allah? Nabi menjawab; sesiapa yang berperang meninggikan kalimah Allah yang tinggi, maka dialah sebenar-benar pahlawan yang berjuang di jalan Allah."

sedutan khutbah JAIS

No comments:

Post a Comment