Tuesday, July 27, 2010

Memelihara Lidah

Antara anggota penting manusia yang wajib diberikan perhatian adalah lidah. Tanpa lidah manusia tidak dapat menuturkan kata-kata dengan baik. Dengan lidah juga manusia dapat bermain kata-kata. Dengan lidah juga manusia dapat menghancurkan segala-galanya. Kerana pentingnya lidah, ia harus dijaga supaya tutur kata yang keluar daripada lidah tidak mendatangkan kesan buruk kepada orang ditutur dan tidak memperondak-randakan masyarakat.


Walaupun lidah hanya anggota yang kecil dan tidak bertulang, tetapi ia mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Lidah boleh memartabatkan seseorang manusia. Seringkali manusia dimuliakan kerana lidahnya. Lidah juga boleh menjatuhkan seseorang manusia dan seringkali manusia hina kerana lidahnya.


Pendek kata, lidah boleh menaikkan imej seseorang dan lidah juga boleh menjatuhkan seseorang dalam sekelip mata. Sebab itu lidah boleh membawa kebahagiaan dan lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada seseorang. Bak kata pepatah, "sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa."  


Jika kita perhatikan kepada perbualan para remaja dan muda-mudi kita sekarang, kita akan dapati bahawa perbualan mereka tidak lengang dari perkataan lucah dan kotor, memaki satu sama lain, mencarut, sama ada secara sedar atau tidak sedar, sama ada secara sungguh-sungguh atau main-main.


Kemudian kita bandingkan pula perbualan kita sesama kawan rapat kita di pejabat. Kita perhatikan kadang-kadang perkataan-perkataan yang kita ucapkan tersebut juga mempunyai unsur-unsur umpatan dan pembohongan ataupun seumpamanya. Kemudian kita juga perhatikan perbualan dan percakapan masyarakat kita seharian. Nescaya kita akan dapati percakapan mereka bercampur dengan unsur-unsur kata-mengata, umpat-mengumpat, caci-mencaci, fitnah-memfitnah dan sebagainya yang boleh menyakitkan hati orang yang diumpat.


Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman di dalam surah An-Nisaa, ayat 114 bermaksud:


"Tidak ada gunanya pada kebanyakan dari bisikan-bisikan mereka melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah, atau berbuat baik, ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia. Dan barangsiapa yang melakukan demikian kerana mengharapkan keredhaan Allah maka Kami (Allah) akan memberinya ganjaran yang besar."


Allah s.w.t dengan tegas mengatakan bahawa perbualan dan percakapan manusia menjadi sia-sia saja kecuali pada tiga perkara iaitu:

  1. Menyuruh orang memberi sedekah
  2. Menyuruh orang berbuat baik
  3. Mendamaikan antara dua pihak yang bergaduh.

Sebab itu, perbualan umum antara manusia seperti berborak-borak, bergurau-senda yang berlebihan, menceritakan hal orang dan sebagainya adalah satu perbuatan yang sia-sia, malah boleh mendatangkan dosa. Mungkin antara punca mengapa bangsa kita masih tidak bersatu dan bersepakat, kerana punca lidah kita sendiri yang mendoakan agar diri kita diberikan bencana. Tutur kata kita yang melahirkan permintaan begitu.

Perbualan seharian kita diselangi dengan perkataan kotor, kita sulami dengan maki-hamun. Walaupun ia tidak disengajakan, walau ia tidak dimaksudkan, akan tetapi secara tidak langsung kita telah mendoakan sesuatu keburukan kepada saudara kita. Ini bukanlah ajaran Islam. Ini bukan juga adab seorang Muslim. Dan ini bukanlah dari didikan Rasulullah s.a.w.


Kita mengaku bahwa kita cintakan Rasulullah s.a.w. Kitalah orang pertama sekali menentang jika ada sesiapa yang cuba merendah-rendahkan serta menghina Rasulullah s.a.w. Akan tetapi cinta kepada Rasulullah s.a.w. itu tidak disertakan dengan perbuatan kita. Kita ketepikan sifat-sifat baik yang ada pada Rasulullah s.a.w. yakni kita tidak meniru adab dan akhlak-akhlak terpuji Rasulullah s.a.w.


Kerana itu, kita seharusnya menjaga lidah kita agar tidak mengeluarkan perkataan yang sia-sia, apatah lagi kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah seseorang dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya. Ini jelas dari hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan."

Dan sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja."


Antara bencana lidah adalah berbohong. Memang kita sudah ketahui akan dosa berbohong tetapi kadang-kadang kita melakukannya apabila kita berborak-borak dengan teman-teman. Kita mengada-adakan cerita untuk menjadi bahan ketawa. Kita menambah-nambah cerita orang lain untuk menjadi lebih menarik. Ini bukan sahaja membawa dosa mengumpat, bahkan ia membawa dosa fitnah.


Dan fitnah itu adalah lebih besar dosanya dari membunuh. Lihatlah contoh Rasulullah s.a.w. BAginda juga bergurau-senda dan bergembira dengan isteri-isterinya, tetapi baginda tidak pernah mengadakan suatu yang palsu dalam gurau sendanya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Aku pun turut bergurau-senda, tetapi aku tidak mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka."


Inilah akhlak Rasulullah s.a.w. Maka kita seharusnya cuba mencontohi baginda. Marilah kita jauhkan diri kita dari berkata-kata yang sia-sia, berkata yang tidak benar dalam senda gurau. Berkata Ibnu As kepada puteranya:

"Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau-senda dengan orang yang berpangkat kelak ia akan memusuhi kamu.  Dan jangan pula kepada orang yang rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu."


sumber: www.baheis.islam.gov.my

No comments:

Post a Comment